Thursday 10 November 2016

Di Ambang Senja

( Nota tertulis di pemikiran semasa bersembang dengan kawan kawan)


Di meja makan di dapur sunyi
Duduklah suami sambil menanti
Sepatah kata pun tidak berbunyi
Isteri pun diam tidak peduli

Makanan panas kini di depan
Sang isteri yang telah masakkan
Ayam panggang kangkung belacan
Apa lagi silalah makan

Sang suami tak lupa membaca doa
Bukan hanya masa nak mula
Di pertengahan nanti ada juga
Hinggakan suapan tertunda tunda

Kalau di lihat pelik juga
Entah apa dibaca apa dipinta
Bagi isteri ringkas sahaja
Dalam hati syukur di nyata

Oh terlupa garpu dan juga camca
Patutlah suami tak jadi mula
Tugas isteri caca marba
Janganlah marah kerana terlupa

Keakhir kini memang pelupa
Maklumlah umur semakin tua
Dah mula putih rambut di kepala
Mohon maaf jika tak kena

Makanlah makanlah isteri pelawa
Kurang ummph masin tak rasa
Maaf lagi dia bersuara
Suami tidak pun mengangkat muka

Tiba masa pencuci mulut
Isteri juga mengangkat buntut
Mengambil pisau di penyangkut
Nak potong tembikai yang membusut

Bukan senang nak potong tembikai
Kulit tebal tak boleh pakai
Tangan lemah macam nak terkulai
Tembikai terjatuh di atas lantai

Selesai santap perkakas di himpun
Perlu dibasuh dan disusun
Tungku dan sinki terpaksa disabun
Bersih cuci tikus tak turun

Tugas banyak tak tergapai
Suami sudah bersantai santai
Sebatang rokok sepanjang cabai
Telah dihisap hampir selesai

Senyap tetapi seakan mengarah
Hati isteri terusik sudah
Diambil kerepek di kunyah kunyah
Untuk mengawal rasa amarah

Krup krup krup rancak berbunyi
Masih kuat gigi dan gusi
Barisan gigi pun berseri lagi
Suami yang pandang iri hati

Isteri nakal menjeling glee
Tambah lagi dengan memperli
Hisaplah rokok bertali tali
Biar luruh semua gigi

Haaah

Walaupun ada selisih faham
Perang dingin datang mengancam
Tak parah jika cepat dicam
Rumahtangga tak lah karam

Bila sudah berduaan begini
Bila sarang sudah pun sepi
Anak dah keluar hidup sendiri
Tidak ada penghibur hati

Biar banyak bertoleransi
Gunakan juga diplomasi
Agar rukun dan perang tak jadi
Aman bersama keakhir nanti


- hmg





No comments:

Post a Comment