Wednesday 10 October 2018

Dalam Penafian

Hari ini ada orang akan sakit jantung
apa tidaknya mengharapkan untung
tetapi tertumpah pula kantung
poket semakin kosong

Jangan pula nafas terus terhenti
kasihan lah anak bini
mereka masih menanti
tangan menadah tinggi

Kamu perkecilkan suasana
untung rugi itu biasa
bagai pemain berpengalaman
lagak jutawan

Di pasaran, "blood-bath" terjadi
jangan disalahkan dua negara gergasi
yang sedang berperang ekonomi
sedangkan di sini keputusan dibuat tidak teliti

Hendak tanya lah
mahu menyelamatkan atau meranap
atau sememangnya bengap?



-hmg



Saturday 8 September 2018

Bising

Macam ayam berkokok sebelum subuh
macam katak bersahut sahut
jangan marah jika tersebut
bagai anjing menyalak kerana berebut
tulang yang reput

Bising
kata kata dilontarkan
berbalasan
berlantunan

kadang kadang bukan nya apa
retorik semata mata
kesahihan di ketepi
kemenangan yang dihajati

Bising
bingit
pening kepala
perut loya
sedar sedar semua terpedaya.


- hmg

Monday 27 August 2018

Merdeka Jiwa Merdeka

Meriah kemerdekaan
dengan kibaran bendera 
dan laungan patriotisma
luaran yang dipertontonkan

Apa yang benar sekali 
ada tersembunyi
dalam hati insani

Jiwa yang merdeka itu
sekeras ketulan batu 
walau terubah di persisiran pantai
tidak terpecah dek hempasan air

Di jiwa yang merdeka
ada kematangan dan kewarasan
sebagai tembok pertahanan

Jiwa merdeka itu
tubuh yang gagah diri yang tabah
membujur lalu 
melintang patah!

Di jiwa yang merdeka juga
ada belas dan rasa
seiring denyutan nadi
dan kelembutan hati

Merdeka bagi ku

adalah apabila jiwa telah melepasi
jerat cemburu
dendam dan dengki

- hmg


Thursday 28 June 2018

Cerita Dongeng

Pada zaman kanak kanak dulu ada satu cerita
Yang ku baca
cerita nya aneh
aku tidak berasa sedih
dan aku tidak kisah akan moral ceritanya
setelah tamat membaca

Entah mengapa hari ini ingatan akan cerita itu menerpa
tetapi kabur
Bagaimana jalan cerita nya ah

Ya seorang lelaki terdampar di pulau
sedap terlena di pantai
hanya tersedar dirinya diikat
pabila cuba mengeliat

Dikelilingi makhluk kecil dan halus
mereka menikam nikam juga cuba ditimbus
seluruh badan
Dia hanya kegelian

Cerita nyata yang ku baca hari ini
Ada gergasi di tumbangkan
Oleh dengki dan dendam
Badan nya akan dicincang cincangkan
Dihurung dan dikotorkan
Akan dipijak dan dilenyekkan
Akan dinyahkan dari bumi dan alam . . .


- hmg




Sunday 27 May 2018

Kayu Buruk Dan Besi Berkarat


Buang kayu buruk
Ambil besi berkarat
Api tak mahu hidup
Kuah belum pekat

Titi si kayu buruk
Diganti besi berkarat
Poket dalam diselok
Hanya daki melekat

Lempar kayu buruk
Sambut besi berkarat 
Mata masuk habuk
Pandangan jarak dekat

Patah kayu buruk
Terpaut besi berkarat
Sakit kepala terantuk
Pening sangat sangat

Ranap kayu buruk
Ditimpa besi berkarat
Layari zaman sibuk
Harap tidak melarat


- hmg

Wednesday 31 January 2018

Aku Hanya Permerhati

( nota tertulis pada 31. 12. 2017)

Apabila aku duduk di sini 
di malam sebegini
dari jauh aku dapat perhatikan
mereka gila meraikan
kedatangan detik tengah malam

Meriah lah kedengaran
sorak sorai nyanyi nyanyian
kegembiraan yang tidak keruan
ikut ikutan

Kemudian bermotoran 
berpusu pusu laju
entah kemana menuju
entah apa dikejar
tahun baru?
kerja yang sia sia 
kerana sendirinya ia akan tiba.
 
- hmg


Saturday 20 January 2018

Biarkan Dia


Apalah yang kekurangan lagi
jika hidup selesa dikelilingi
mereka yang disayangi
bahagia hidup terseri

Tetapi kedamaian
sering dibayangi unsur gangguan
yang merimaskan

Seakan ada penafian hak asasi
untuk melayari hidup ini
mengikut hati naluri

Pun begitu bukanlah kebebasan mutlak yang ingin dimiliki
atau kehidupan material yang ranggi
jauh sekali cita yang melampaui

Dia hanya mahu kehidupan
bahagia dalam kegembiraan yang tulen
digariskan  dengan adat dan budi
Tanpa di nafikan hak
keriangan peribadi
Jika pun tidak searus khalayak

Dia tidak mahu cara hidupnya ditentukan
oleh mereka yang cuba memain  peranan
diluar kemampuan insan biasa

Dia tidak mahu hidup ini menjadi kucar kacir dan longar
di mana diselit dicelah nya khabar khabar
dongeng yang pahit
oleh mereka yang hipokrit.

- hmg




Wednesday 10 January 2018

Keputusan

( Bagaimana hendak kita memberi reaksi keatas berita yang di sampaikan. Untuk tidak mengeruhkan lagi keadaan biarlah kita diam. Penulis terjemahkan perasaan kawan itu begini . . .)


Di suatu hari nanti
kamu akan mendapati 
daun daun akan kekuningan
bunga bunga akan kelayuan
kerana tiada ada lagi hati yang akan menyiram

Laman akan kesunyian
tanpa burung burung bernyanyian
mereka tidak akan lagi bertandang
kerana tiada lagi lambaian warna warna keceriaan

Suasana hening 
menyepi kekosongan

Aku membayangkan
kamu lentur ke bumi menahan kesesalan
seperti patahnya dahan
kerana melepaskan kesempatan
untuk meniti suatu perdamaian


-hmg