Wednesday 31 January 2018

Aku Hanya Permerhati

( nota tertulis pada 31. 12. 2017)

Apabila aku duduk di sini 
di malam sebegini
dari jauh aku dapat perhatikan
mereka gila meraikan
kedatangan detik tengah malam

Meriah lah kedengaran
sorak sorai nyanyi nyanyian
kegembiraan yang tidak keruan
ikut ikutan

Kemudian bermotoran 
berpusu pusu laju
entah kemana menuju
entah apa dikejar
tahun baru?
kerja yang sia sia 
kerana sendirinya ia akan tiba.
 
- hmg


Saturday 20 January 2018

Biarkan Dia


Apalah yang kekurangan lagi
jika hidup selesa dikelilingi
mereka yang disayangi
bahagia hidup terseri

Tetapi kedamaian
sering dibayangi unsur gangguan
yang merimaskan

Seakan ada penafian hak asasi
untuk melayari hidup ini
mengikut hati naluri

Pun begitu bukanlah kebebasan mutlak yang ingin dimiliki
atau kehidupan material yang ranggi
jauh sekali cita yang melampaui

Dia hanya mahu kehidupan
bahagia dalam kegembiraan yang tulen
digariskan  dengan adat dan budi
Tanpa di nafikan hak
keriangan peribadi
Jika pun tidak searus khalayak

Dia tidak mahu cara hidupnya ditentukan
oleh mereka yang cuba memain  peranan
diluar kemampuan insan biasa

Dia tidak mahu hidup ini menjadi kucar kacir dan longar
di mana diselit dicelah nya khabar khabar
dongeng yang pahit
oleh mereka yang hipokrit.

- hmg




Wednesday 10 January 2018

Keputusan

( Bagaimana hendak kita memberi reaksi keatas berita yang di sampaikan. Untuk tidak mengeruhkan lagi keadaan biarlah kita diam. Penulis terjemahkan perasaan kawan itu begini . . .)


Di suatu hari nanti
kamu akan mendapati 
daun daun akan kekuningan
bunga bunga akan kelayuan
kerana tiada ada lagi hati yang akan menyiram

Laman akan kesunyian
tanpa burung burung bernyanyian
mereka tidak akan lagi bertandang
kerana tiada lagi lambaian warna warna keceriaan

Suasana hening 
menyepi kekosongan

Aku membayangkan
kamu lentur ke bumi menahan kesesalan
seperti patahnya dahan
kerana melepaskan kesempatan
untuk meniti suatu perdamaian


-hmg